Wednesday 19 January 2011

Pengenalan Landskap

Hortikultur berasal daripada dua perkataan latin iaitu hortus yang beerti tumbuhan taman dan cultura yang beerti penanaman atau penjagaan. Hortikultur boleh ditakrifkan sebagai penanaman atau penjagaan tumbuhan taman.

Hortikultur hiasan meliputi tumbuhan semusim (tahunan), tumbuhan herba, tumbuhan bebawang hiasan, tumbuhan lender (sukulin), tumbuhan berdaun, rumput turf, penutup bumi, tumbuhan menjalar dan memanjat, tumbuhan akuatik, pokok orkid, pokok renek, pokok saka, palma dan pokok malar hijau. Hortikultur hiasan merangkumi kegiatan pembiakbakaan, pembiakan, pengurusan semaian dan tapak semaian, pengeluaran, pemasaran, dan pengangkutan. Ini termasuklah penggunaan pelbagai tumbuhan jenis ini untuk memperindah persekitaran bagi keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan manusia.

Landskap ialah istilah daripada bahasa Belanda yang bermaksud pemandangan desa. Walaupun begitu, istilah ini biasanya merujuk pada keseluruhan rupa bumi samaada di bandar atau desa termasuk ciri-ciri semulajadi seperti tumbuhan-tumbuhan, tasik, gunung-ganang dan struktur buatan manusia seperti bangunan, jalanraya dan sebagainya.

Pelandskapan ialah proses yang melibatkan kegiatan merancang, merekabentuk, melaksanakan dan menguruskan landskap untuk keselesaan, keselamatan dan ketenangan manusia di samping mewujudkan suasana yang indah dan harmoni dengan persekitaran semulajadi.