Sunday 31 July 2011

PENGKELASAN DAN PENAMAAN TUMBUH-TUMBUHAN




Manusia telah menama dan mengkategorikan tumbuhan sejak dari zaman purba lagi. Pada awalnya, tumbuhan dikelaskan kepada yang berguna dan yang memudaratkan. Sebagai tambahan, tumbuhan dikelaskan mengikut kegunaannya. Sistem pengkelasan kemudiannya berkembang dengan menggunakan sifat-sifat pertumbuhan dan ciri-ciri fisiologi sebagai asas.
Disebabkan terdapat berjuta-juta jenis tumbuhan di dunia ini, satu sistem pengkelasan yang saintifik dan sistematik adalah perlu. Proses mengklasifikasi dan menamakan tumbuhan telah dimulakan sejak 4,000 tahun dahulu.
Sebagai amalan biasa, tumbuhan diberi nama tempatan berdasarkan kepada kegunaan, tabiat pertumbuhan, ciri-ciri unik, habitat tumbuhan dan sebagainya. Amalan ini menimbulkan masalah kerana nama yang sama diberi kepada tumbuhan yang berbeza-beza di tempat yang berlainan. Contohnya, di Malaysia bunga tahi ayam diberikan kepada pokok lantana (Lantana camara) dan marigold (Tagetes sp.).
Untuk mengatasi kekeliruan, saintis antarabangsa telah menggubal serta mengamalkan beberapa sistem pengkelasan. Secara kasarnya, pengkelasan tumbuh-tumbuhan hortikultur boleh dibahagikan kepada dua;

     a. Pengkelasan botanikal
     b. Pengkelasan hortikultur

a. PENGKELASAN BOTANIKAL

Sistem botanikal menggunakan asas-asas saintifik – kerana itu pengkelasan ini juga dikenali sebagai pengkelasan saintifik. Sistem ini diperkenalkan oleh ahli biologi Carl Linnaeus (1707 - 1778). Tumbuh-tumbuhan dikenal dan dikumpulkan berasaskan kepada ciri tertentu seperti saiz, bentuk, warna, sifat-sifat bunga, makanan simpanan, atau pertalian genetik dan sebagainya.

Pengkelasan botanikal melibatkan dua tugas utama iaitu:

i.      pengekelasan (taxonomy) - mengkategorikan sesuatu tumbuhan dalam kumpulan tertentu
ii.     penamaan (nomenclature) - memberikan nama saintifik yang betul (mengikut peraturan tertentu) kepada tumbuhan yang telah dikategorikan

i. Pengkelasan (Taxonomy)

Dalam kerja-kerja pengkelasan, sesuatu tumbuhan dikaji dan dikumpulkan mengikut urutan taxa berhirarki seperti berikut (dengan tumbuhan mangga sebagai contoh):

Kingdom   - Plantae (tumbuhan)
Division  - Spermatophyta (tumbuhan berbiji benih)
Class     - Angiospermae (biji benih tertutup)
Subclass  - Dicotyledonae (dua kotiledon)
Order     - Sapindales
Family    - Anacardiaceae
Genus     - Mangifera
Species   - indica

Kategori-kategori dari order ke bawah adalah penting dalam bidang hortikultur.
-   order    -     menentukan sesuatu tumbuhan boleh dibiakkan secara aseks; seperti cantuman, tut
-   famili    -     menentukan keserasian untuk melakukan pembiakan aseks antara dua tumbuhan; seperti cantuman mata tunas, cantuman baji, cantuman sandingan
-   genus   -     menentukan sama ada kacukan boleh dilakukan di antara dua spesies atau varieti tumbuhan
-   spesies      -       kumpulan organisma yang mempunyai pertalian rapat dan boleh berkacuk sesama sendiri menghasilkan keturunan yang boleh membiak

Penamaan (Nomenclature)

Sistem pemberian nama saintifik kepada tumbuhan yang diamalkan kini adalah sistem binomial. Dalam sistem ini, setiap nama tumbuhan (dan haiwan) terdiri daripada dua perkataan (binomial). Perkataan pertama ialah nama genus tumbuhan dan nama kedua adalah nama spesies. Kebanyakan nama tumbuhan adalah dalam bahasa Latin atau bahasa lain yang di Latinkan, Arab dan juga Yunani. Contoh: Bunga raya (nama genus: Hibiscus, dan nama spesies rosa-sinensis. Jadi nama saintifik yang penuh bagi bunga raya ialah Hibiscus rosa-sinensis.
Nama saintifik yang diberi kepada tumbuh-tumbuhan adalah nama yang diterima seluruh dunia. Setiap nama yang diberi (terutamanya nama spesies) biasanya berbentuk fonetik dan memberi gambaran tentang ciri-ciri tumbuhan itu, keadaan habitat, negara asalnya atau untuk mengenang orang yang awal-awal mengkajinya;

   -   Nama yang diberi untuk menghuraikan ciri-ciri tumbuhan ialah seperti:

        a.   daun; contohnya folius, phyllon atau phylla
  
              Tambahan imbuhan awalan atau akhiran kadangkala diberikan; contohnya macrophylla (daun besar), microphylla atau microfolius (daun kecil/halus).

        b.   bentuk bunga; contohnya flora
              Tambahan imbuhan awalan grand menjadi grandiflora.

        c.   warna bunga atau warna daun; contohnya albus atau leuco (putih), argentus (perak), aureus atau chryso (emas), rubra, rubrons atau coccineus (merah) dan croceus, flavus atau inteus (kuning)

        d.   Bentuk atau ciri tumbesaran tumbuhan; contohnya altus atau alta (tinggi), aboretus (berupa pokok), compactus (padat), nanus atau pumilis (katik/kerdil), repens atau reptans (menjalar) dan scandens (melilit)

    -   Nama-nama spesies juga memberitahu tentang tempat asal tumbuhan, seperti australis (selatan), borealis (utara), canadensis (Kanada), chinensis atau sinensis (China), chilensis atau chileonsis.( Chile), japonica, nipponica atau nipponicus (Jepun), campestris (ladang), insularis (pulau) dan montanus (gunung).

    -   Ada kalanya nama orang digunakan seperti Rudbeck (Rudbeckia), Dahl (Dahlia) dan sebagainya.

Untuk memberikan autoriti kepada orang yang mula-mula menamakan sesuatu tumbuhan, huruf atau ringkasan nama individu berkenaan ditambah di akhir nama saintifik tumbuh-tumbuhan itu. Contohnya, ubi kentang - Solanum tuberosum L.; huruf "L." adalah ringkasan nama bagi Carl Linnaeus. Ringkasan nama ini juga merupakan sumber maklumat sejarah yang penting bagi nama tumbuhan tersebut.


Peraturan Menulis Nama Tumbuhan

Huruf awal nama genus mesti ditulis dengan huruf besar dan nama spesies ditulis dengan huruf kecil. Kedua-dua nama yang ditulis dengan tangan atau ditaip mesti digariskan. Contohnya: Tagetes erecta. Satu cara lain untuk menuliskanya ialah dengan menggunakan huruf-huruf condong. Contohnya Tagetes erecta.
Sekiranya dua atau lebih tumbuh-tumbuhan dari genus yang sama tetapi spesiesnya berlainan hendak disenaraikan, hanya tumbuhan yang pertama dalam genus yang sama ditulis dengan nama penuh dan yang berikutnya dengan nama ringkas. Contohnya, jika dua jenis Marigold (Tagetes erecta dan Tagetes patula hendak disenaraikan, cara menulisnya adalah Tagetes erecta dan T. patula.
Jika nama genus sejenis tumbuhan diketahui tetapi nama spesiesnya tidak diketahui maka cara menulisnya ialah dengan menulis nama genus sepenuhnya dan nama spesies ditulis sebagai sp. jika satu tumbuhan (contohnya Citrus sp. dan Citrus spp. jika lebih dari satu spesies tumbuhan dari genus yang sama.
Penulisan nama saintifik sesuatu tumbuh-tumbuhan dianggap lengkap apabila disertai dengan huruf atau nama ringkas orang yang menamakan tumbuhan itu.

Famili

Sesuatu Famili tumbuhan terdiri daripada sekumpulan tumbuhan yang mempunyai ciri-ciri botani yang sama. Perhubungan ini boleh dilihat berasaskan bahagian atau sifat-sifat tertentu tumbuhan. Contohnya famili Solanaceae terdiri daripada pokok-pokok seperti tomato (Lycopersicon esculentum, L. lycopersicum), lada (Capsicum annuum, C. frutescens), tembakau (Nicotiana tabacum) bunga Petunia (Petunia hybrida) dan sebagainya. Semua spesies famili ini mempunyai ciri-ciri bunga yang sama.
Huruf pertama nama famili mesti ditulis dengan huruf besar. Nama famili ada kalanya ditulis dengan huruf besar sepenuhnya. Kebanyakan nama famili diakhiri dengan aceae. Contohnya Solanaceae, Rosaceae, Amaryllydaceae dan Liliaceae. Famili berikut (dahulunya tidak mengikut konvensyen ejaan ini) telah diberikan nama barunya:

Nama Lama
Nama Baru
Compositae
Asteraceae
Cruciferae
Brassicaceae
Graminae
Poaceae
Guttiferae
Hyperiaceae
Labiatae
Lamiaceae
Leguminosae
Fabaceae
Umbelliferae
Apiaceae

Varieti dan Kultivar

Sesuatu tumbuhan hortikultur yang berguna sering dikacuk, dipilih atau menjalani proses-proses lain sehingga terhasil satu jenis baru yang berlainan cirinya dari jenis yang asal. Jenis yang baru ini diberi nama varieti. Contohnya apabila berlaku perubahan warna bunga ros dari merah kepada kuning maka muncullah satu varieti baru. Apabila sesuatu varieti baru dikembangkan, dipilih dan ditanam untuk memenuhi sesuatu tujuan, muncullah istilah ‘cultivar’ yang membawa maksud "cultivated variety".
Nama varieti atau kultivar dituliskan huruf awalnya dengan huruf besar. Nama varieti atau kultivar ini sama ada didahului dengan singkatan var. (bagi varieti) atau cv. (bagi kultivar); atau diletakkan dalam koma. Ianya ditulis selepas nama genus, spesies atau nama biasa. Contohnya: Tembikai;

  Citrullus cv. Crimson Sweet, atau
  Citrullus lanatus cv. Crimson Sweet, atau 
  Citrullus lanatus ‘Crimson Sweet’, atau
  Tembikai cv. Crimson Sweet.

Terdapat dua kategori kultivar iaitu klon dan line. Sekiranya sesuatu kultivar dibiakkan secara aseks atau tampang, hasilnya dinamakan klon dan jika dibiakkan secara seks (biji benih) hasilnya dinamakan line.

Hibrid

Istilah ini merujuk kepada anak-anak yang terhasil dari kacukan dua spesies tumbuhan atau kultivar. Tumbuhan yang dikacuk biasanya menghasilkan anak-anak yang tidak serupa dengan induk asalnya. Biasanya pokok-pokok kacukan mempunyai kualiti pertumbuhan dan pembungaan yang lebih baik daripada induk asalnya.

        Baka A       x          Baka B       -       Genus yang sama
                      (kacuk)
                             
                        
                       
                      Baka AB      -       Kacukan generasi pertama
                                                                (Hibrid F1)


Biji benih kacukan F1 (hidrid F1) adalah lebih mahal harganya

Jika hibrid F1 dikacukkan sesama sendiri dan benihnya disemai, pokok yang akan dihasilkan adalah tidak seragam kerana pengasigan gen telah berlaku.


                                Baka AB    x    Baka AB
 


                          Baka A       Baka B       Baka AB








b. PENGKELASAN HORTIKULTUR

Mengikut pengkelasan ini, tumbuh-tumbuhan dikumpulkan mengikut kegunaan keseluruhan atau bahagian tertentu tumbuhan, tabiat pertumbuhan, sifat semulajadi, rupa bentuk tumbuhan atau bentuk hasil yang dikendali dan dipasarkan. Di bawah sistem pengkelasan ini, seringkali berlaku keadaan di mana suatu tumbuhan yang sama dimasukkan ke dalam dua kumpulan yang berlainan.
Berpandukan kepada asas-asas ini, tumbuh-tumbuhan hiasan dikelaskan sebagai tumbuhan:

i.      Bunga keratan

Tumbuhan dalam kumpulan ditanam untuk mendapatkan bunganya. Contoh: Gladiolus, ros, kekwa, anthurium, orkid, lili, aster, dan carnation.

ii.     Daun keratan

Tumbuhan yang ditanam untuk mendapatkan daun sebagai bahan yang dipasarkan tergolong dalam kumpulan ini. Contoh: Asparagus, cycas.

iii.    Bunga berpasu

Tanaman ini diusahakan dalam bekas-bekas tertentu kerana bunganya yang cantik, biasanya digunakan untuk hiasan. Contoh: Ros, kekwa, petunia dan orkid.

iv.    Jenis daun

Jenis-jenis tumbuhan yang ditanam kerana daunnya yang menarik; sama ada dari segi warna atau bentuknya. Contoh: begonia, coleus, dieffenbachia, dracaena dan puding.

v.     Hiasan dalam rumah

Biasanya tumbuhan ini adalah tumbuhan jenis daun dan tahan atau memerlukan keamatan cahaya yang rendah. Contoh: Calathea, paku-pakis, begonia, dieffenbachia

vi.    Rumput turf dan rumput hiasan

Sekumpulan jenis rumput dari keluarga Graminae yang digunakan sebagai rumput padang permainan, rumput halaman, rumput pinggiran jalan dan sebagainya. Contoh: Rumput karpet (Axonopus compresus), rumput bermuda (Cynodon dactylon).

 vii. Pokok naungan dan pinggiran jalan

(Pokok di sini bermaksud tumbuhan yang mempunyai sudur dan batang utama serta tumbuh tinggi melebihi lima meter)
Pokok-pokok ini ditanam untuk tujuan mendapatkan teduhan di tempat-tempat awam dan di pinggir dan pembahagi jalan. Contoh: Sena (Pterocarpus indicus), tembusu (Fragrea fragrans).

viii. Pokok Hiasan

Pokok-pokok yang mempunyai bunga, buah, daun, batang atau bentuk yang menarik. Biasanya digunakan dalam landskap untuk mencantikkan kawasan atau sebagai penanda (untuk menarik perhatian). Contoh: Akasia perak (Acacia cincinata), Traveller's Palm (Ravenala madacasriensis).
ix.    Pokok renek

Ini merupakan kumpulan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai banyak batang yang muncul dari pangkal dan mempunyai ketinggian kurang dari lima meter. Kumpulan ini boleh dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil:

-   pokok renek berdaun seperti akalipa kuning (Acalypha wilkesiana), puding (Codiaeum variegatum)  
-   pokok renek berbunga seperti siantan (Ixora javanica), bunga raya (Hisbicus rosa-sinensis)
-   pokok pagaran seperti akalipa siam (Acalypha siamea), 

x.     Tumbuhan memanjat dan menjalar

Tanaman hiasan memanjat mempunyai bahagian-bahagian khas (atau yang diubahsuai) untuk memanjat seperti tendril, pencangkuk, akar pelekat dan batang yang melilit. Contoh: Gloriosa superba, Seri pagi (Ipomoea sp.), Epiremnum aureum (syn. Scindapsus aureus)
Tumbuhan menjalar tidak mempunyai bahagian-bahagian khas untuk memanjat. Tumbuhan ini biasanya tumbuh melata di permukaan bumi. Contoh: Wedelia trilobata, Hemigraphis colorata.

xi.    Kaktus dan lendair

Tumbuhan kaktus merupakan tumbuhan yang menjalani pengubahsuaian semula jadi untuk membolehkannya hidup di kawasan gurun yang bersuhu tinggi dan kekurangan air. Contoh: Opuntia sp., Cereus sp.
Tumbuhan lendair adalah tumbuhan yang tidak mempunyai tisu-tisu berkayu pada bahagian batangnya. Tumbuhan ini tidak tahan cahaya matahari yang kuat. Biasanya, tumbuhan ini mempunyai batang atau daun yang tebal dan berair. Contoh: Begonia sp., Sansevieria trifasciata, Peperomia obtusifolia

xii.   Palma

Palma adalah tumbuhan malar hijau berbatang tunggal dengan daun yang menarik bentuknya. Contohnya palma diraja (Roystonia regia) dan palma serdang (Livistona chinensis). Sesetengah spesies palma seperti palma kuning (Chrysalidocarpus lutescens) dan Raphis excelsa tumbuh dalam bentuk berumpun.
Secara umumnya palma merupakan tumbuhan hiasan yang menarik dan mudah tumbuh. Palma sesuai ditanam dalam bekas pada peringkat umur kurang lima tahun.

xiii. Orkid

Orkid adalah tumbuhan yang popular kerana bunganya yang cantik; dengan pelbagai warna, bentuk, saiz, dan corak. Kebanyakan orkid adalah tumbuhan epifit – tumbuhan yang menumpang pada tumbuhan lain tetapi bukan parasit. Penanaman dan penjagaan tumbuhan ini juga senang dikendalikan. Tumbuhan ini mempunyai potensi yang besar dari segi komersial.

xiv. Paku pakis

Tumbuhan ini mempunyai beberapa ciri penting yang menyebabkan ianya berbeza daripada tumbuhan hijau lain. Satu daripadanya ialah pucuk mudanya berbentuk seperti gelung. Selain itu, paku pakis mengeluarkan spora untuk pembiakannya secara seks. Sebilangan paku pakis boleh juga dibiakkan secara aseks melalui kaedah pembahagian rumpun.
Kebanyakan paku pakis merupakan tumbuhan herba saka yang rendah dan daunnya terbahagi kepada anak-anak daun.


Selain daripada dua kaedah pengkelasan di atas, tumbuh-tumbuhan juga sering dikelaskan berasaskan kepada tabiat pertumbuhan atau ciri-ciri fisiologinya. Oleh itu, tumbuh-tumbuhan boleh dikelompokkan sebagai tumbuhan berkayu dan tumbuhan tidak berkayu (sukulen). Tumbuhan tidak berkayu yang mampu menyokong dirinya sendiri untuk tumbuh menegak dipanggil tumbuhan herba, contohnya bunga matahari (Helianthus annuus). Tumbuhan yang batangnya perlukan sokongan untuk tumbuh tegak pula dipanggil tumbuhan melilit atau tumbuhan memanjat (seperti Clerodendron thomsonae dan Gloriosa superba). Tumbuhan berkayu yang mampu menyokong dirinya sendiri pula dikelompokkan dalam kumpulan tumbuhan renek atau pokok. Pokok adalah tumbuhan yang mepunyai batang utama (seperti durian – Durio zibethinus) manakala tumbuhan renek biasanya tidak mempunyai batang utama yang nyata tetapi mengeluarkan cabang-cabang bermula dari permukaan tanah lagi (seperti bunga raya). Pokok biasanya lebih tinggi daripada tumbuhan renek.

Satu lagi pengkelasan penting bagi tumbuhan hortikultur ialah berdasarkan jangka hayat tumbuhan. Tumbuhan yang melengkapkan kitaran hidupnya (daripada peringkat percambahan biji benih hingga pengeluaran bunga dan biji benih baru dan kemudiannya mati) dalam tempoh satu musim pertumbuhan dipanggil tumbuhan semusim. Contoh: bunga matahari (Helianthus annuus), bunga keembong (Impatiens balsamina) dan bunga tahi ayam (Tagetes erecta). Tumbuhan yang hidup dan tumbesar tahun demi tahun dan tidak mati selepas pengeluaran bunga dikenali sebagai tumbuhan saka. (Contoh: Bunga siantan – Ixora spp., bunga kertas – Bougainvillea spp.).






No comments: